Monday, January 6, 2014

Rumah siap pahat berbunyi

Oleh ZAITIE SATIBI

Seramai 71 daripada 144 pembeli Perumahan Penduduk Kejiranan Kenanga (PPKK) di Sekyen 4, Bandar Baru Bangi, di sini, membuat aduan kepada pemaju selepas kecewa dengan kualiti kediaman yang dihuni sejak setahun lalu apabila mendapati banyak kecacatan seperti dinding retak, bumbung bocor dan perkakas tidak berkualiti.

Pengerusi PPKK Adi Hafiz Al-Azmi berkata, perumahan berkenaan yang dijual pada harga antara RM300,000 hingga RM600,000 siap pada Mei 2012 sebelum pemaju menyerahkan kunci rumah kepada pembeli sebulan kemudian.

Menurutnya, pembeli juga diberi borang bagi mengesan kecacatan rumah untuk dikemukakan kepada pemaju jika ada kerosakan yang akan diperbaiki pihak terbabit.

  “Kami melakukan pemeriksaan dan mendapati retak pada dinding dan pagar, kemasan lantai yang kosong, bumbung bocor, perkakas seperti kepala pili dan tombol pintu yang mudah rosak, tekanan air rendah serta pemasangan pendawaian elektrik dan paip tidak sempurna.

“Pemaju melakukan kerja pembaikan namun hasilnya masih kurang sempurna, menyebabkan kerosakan sama berulang.

“Kami mengemukakan aduan mengenai hal ini tetapi layanan dan perkhidmatan mereka masih tiada perubahan dan perkara ini berlarutan sehingga kini,” katanya.

Beliau ditemui pada sesi dialog penduduk mengenai kecacatan rumah berkenaan bersama pengurusan tertinggi pemaju perumahan terbabit di Dewan Surau al-Amirin, semalam. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bangi Mohd Shafie Ngah.

Adi Hafiz berkata, berikutan masalah sama dialami semua pembeli, mereka sepakat menubuhkan jawatankuasa penduduk bagi menangani masalah terbabit dengan kerjasama semua orang berbanding pembeli membuat aduan secara individu sebelum ini.

“Melalui jawatankuasa ini, kami menghantar notis kepada pemaju meminta mereka membaiki kerosakan itu dalam tempoh 30 hari seperti dipersetujui dalam perjanjian jual beli, September tahun lalu. Namun, pemaju gagal memperbaiki kerosakan rumah walaupun ia masih dalam tempoh liabiliti kerosakan.

“Kami sekali lagi menghantar notis sama pada Disember lalu dengan memberi tempoh dalam 14 hari untuk mereka melakukan kerja pembaikan, tetapi masih tiada tindakan diambil,” katanya.

Jurutera Khairul Azizi Abdul Rahman, 32, berkata, dia berharap pemaju tidak lepas tangan dengan aduan dibuat pembeli seolah-olah tidak mahu bertanggungjawab walaupun beberapa kali aduan dibuat.

“Saya mengharapkan pemaju melakukan sesuatu yang memberi kepuasan kepada kedua-dua pihak. Walaupun aduan banyak kali dibuat, pemaju masih menunjukkan sikap lepas tangan terhadap kerja membaiki keretakan dan kerosakan di kediaman itu,” katanya.

Peniaga Umar Ab Wahab, 34, berkata, pemaju seolah-olah tidak mengendahkan masalah keselamatan penghuni dan pembeli bimbang jika begitu caranya pemaju membuat kerja membaikpulih, mereka akan ditimpa kejadian tidak diingini yang bukan saja mendatangkan kerugian harta benda, malah mungkin kehilangan nyawa.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, beliau memberi jaminan akan membuat susulan mengenai masalah penduduk terbabit, manakala pemaju pula meminta penduduk menghantar borang kecacatan rumah sekali lagi dan akan membaiki kerosakan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Rumahsiappahatberbunyi/Article/index_html

No comments:

Post a Comment