Oleh ZAITIE SATIBI
Seramai 71 daripada 144 pembeli Perumahan Penduduk Kejiranan Kenanga
(PPKK) di Sekyen 4, Bandar Baru Bangi, di sini, membuat aduan kepada
pemaju selepas kecewa dengan kualiti kediaman yang dihuni sejak setahun
lalu apabila mendapati banyak kecacatan seperti dinding retak, bumbung
bocor dan perkakas tidak berkualiti.
Pengerusi PPKK Adi Hafiz Al-Azmi berkata, perumahan berkenaan yang
dijual pada harga antara RM300,000 hingga RM600,000 siap pada Mei 2012
sebelum pemaju menyerahkan kunci rumah kepada pembeli sebulan kemudian.
Menurutnya, pembeli juga diberi borang bagi mengesan kecacatan rumah
untuk dikemukakan kepada pemaju jika ada kerosakan yang akan diperbaiki
pihak terbabit.
“Kami melakukan pemeriksaan dan mendapati retak pada dinding dan
pagar, kemasan lantai yang kosong, bumbung bocor, perkakas seperti
kepala pili dan tombol pintu yang mudah rosak, tekanan air rendah serta
pemasangan pendawaian elektrik dan paip tidak sempurna.
“Pemaju melakukan kerja pembaikan namun hasilnya masih kurang sempurna, menyebabkan kerosakan sama berulang.
“Kami mengemukakan aduan mengenai hal ini tetapi layanan dan
perkhidmatan mereka masih tiada perubahan dan perkara ini berlarutan
sehingga kini,” katanya.
Beliau ditemui pada sesi dialog penduduk mengenai kecacatan rumah
berkenaan bersama pengurusan tertinggi pemaju perumahan terbabit di
Dewan Surau al-Amirin, semalam. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun) Bangi Mohd Shafie Ngah.
Adi Hafiz berkata, berikutan
masalah sama dialami semua pembeli, mereka sepakat menubuhkan
jawatankuasa penduduk bagi menangani masalah terbabit dengan kerjasama
semua orang berbanding pembeli membuat aduan secara individu sebelum
ini.
“Melalui jawatankuasa ini, kami menghantar notis kepada pemaju
meminta mereka membaiki kerosakan itu dalam tempoh 30 hari seperti
dipersetujui dalam perjanjian jual beli, September tahun lalu. Namun,
pemaju gagal memperbaiki kerosakan rumah walaupun ia masih dalam tempoh
liabiliti kerosakan.
“Kami sekali lagi menghantar notis sama
pada Disember lalu dengan memberi tempoh dalam 14 hari untuk mereka
melakukan kerja pembaikan, tetapi masih tiada tindakan diambil,”
katanya.
Jurutera Khairul Azizi Abdul Rahman, 32, berkata,
dia berharap pemaju tidak lepas tangan dengan aduan dibuat pembeli
seolah-olah tidak mahu bertanggungjawab walaupun beberapa kali aduan
dibuat.
“Saya mengharapkan pemaju melakukan sesuatu yang
memberi kepuasan kepada kedua-dua pihak. Walaupun aduan banyak kali
dibuat, pemaju masih menunjukkan sikap lepas tangan terhadap kerja
membaiki keretakan dan kerosakan di kediaman itu,” katanya.
Peniaga Umar Ab Wahab, 34, berkata, pemaju seolah-olah tidak
mengendahkan masalah keselamatan penghuni dan pembeli bimbang jika
begitu caranya pemaju membuat kerja membaikpulih, mereka akan ditimpa
kejadian tidak diingini yang bukan saja mendatangkan kerugian harta
benda, malah mungkin kehilangan nyawa.
Sementara itu, Mohd
Shafie berkata, beliau memberi jaminan akan membuat susulan mengenai
masalah penduduk terbabit, manakala pemaju pula meminta penduduk
menghantar borang kecacatan rumah sekali lagi dan akan membaiki
kerosakan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Rumahsiappahatberbunyi/Article/index_html